Obses terhadap makanan tambahan atau suplemen
tanpa mengetahui maksud dan fungsi sebenarnya untuk tubuh badan hanya akan
membawa keburukan berbanding kebaikan yang cuba dicari. Suplemen boleh wujud dalam bentuk sama ada
vitamin, mineral, herba atau tumbuhan lain, atau komponen dalam makanan yang
kita makan setiap hari.
Jika dilihat di sekeliling kita, suplemen dijual
dengan meluas. Semua orang boleh mendapatkannya sama ada di farmasi, kedai
makanan kesihatan, pasar raya, melalui online di Internet dan sebagainya. Badan kita sememangnya memerlukan vitamin dan
mineral sebagai tambahan untuk memastikan ia bergerak aktif, seperti vitamin C,
bagus untuk kulit serta vitamin E, asid amino, zink dan sebagainya. Makanan tambahan seperti
itu yang kita perlukan dan diambil setiap hari untuk memastikan kulit cantik
dan gebu. Cara pengambilan adalah bergantung kepada pengguna.
Kita perlu tahu adakah penting suplemen tersebut
untuk penyakit yang kita hadapi. Kita perlu ingat makanan tambahan tidak akan
menyembuhkan sesuatu penyakit tetapi ia boleh membantu mengekalkan kesihatan. Kandungan nutrisi dalam setiap makanan tambahan
yang diambil juga penting untuk diketahui dan perlu dipastikan ia mematuhi
piawaian Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia 2005. Kandungan nutrisi daripada makanan tambahan
merupakan nutrien surih yang badan perlukan kerana ia bukan makanan utama
seharian kita tetapi memainkan peranan penting kepada badan kita.
Antara tip untuk memilih makanan tambahan ialah
pastikan keadaan kesihatan betul-betul memerlukan suplemen tersebut. Di samping jika tubuh benar-benar memerlukan
makanan tambahan lebih digalakkan untuk memilih suplemen yang terhasil daripada
bahan-bahan organik dan semula jadi yang tiada tambahan bahan kimia selain halal. Selagi suplemen tersebut
tidak melebihi dos dan mengikut kepada keperluan nutrisi harian kita, ia tidak
menjadi masalah. Sebaliknya jika diambil dalam dos yang
berlebihan, kemungkinan menyebabkan keracunan pada tubuh. Jadi pastikan mendapat
nasihat daripada pakar sebelum mengambil sesuatu makanan tambahan. Pengguna yang ingin mengambil makanan tambahan
untuk kecantikan dinasihatkan agar berhati-hati kerana kesan sampingan tidak nampak dalam
masa yang singkat. Kebarangkalian ia memberi kesan dalam jangka
masa yang lama iaitu selepas bertahun-tahun penggunaan tetap ada.
Paling penting pastikan suplemen tersebut di
luluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna boleh memeriksa kandungan sesuatu supplemen di portal Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui (http://www.bpfk.gov.my) .
Jangan terlalu obses dengan
sesuatu produk yang kita tidak ketahui kandungan nutrisi produk tersebut !!!

Rujukan: http://www.bpfk.gov.my